Header Ads

We design a professional website for you in just 7 Days!

Mereka Tidak Ingin Kembali Ke Pyongyang Lagi, Kaunselor Kedutaan Malaysia Kembali Ke Tanah Air

Mohd Nor Azrin Md Zain tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2-Foto NST
Kaunselor Kedutaan Besar Malaysia di Korea Utara, Mohd Nor Azrin Md Zain gembira dapat kembali ke tanah air bersama isteri Iza Karmila Ramli, 35 dan tiga anak mereka - Annur Zulaikha, 6; Aynur Zhafirah, 5 serta Ayscha Zinnirah, 3 dan empat lagi rakyat Malaysia. Mereka tidak putus-putus mengukirkan senyuman ketika ditemui di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini sejak 2 pagi tadi.

"Saya sangat-sangat gembira kerana dapat kembali bersama anggota keluarga dan yang tersayang. Sekali lagi saya mahu berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang berusaha membawa kami pulang ke tanah air," katanya dengan penuh emosi.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat termasuk kedutaan-kedutaan ASEAN lain di Pyongyang yang tidak putus membantu dan memberikan sokongan kepada mereka sepanjang tempoh rundingan

Walaupun dalam tempoh tahanan, mereka tidak pernah dihalang untuk keluar dari kedutaan. 

"Kami menerima banyak sokongan terutama daripada kedutaan-kedutaan ASEAN seperti Indonesia, Laos, Vietnam dan Kemboja di Pyongyang.

"Kami menerima sokongan moral, logistik, bekalan makanan dan perubatan daripada mereka," katanya.

"Kami tahu perkembangan semasa dan kami berusaha mengekalkan semangat yang tinggi," kata Mohd Nor Azrin kepada media.

Kakak sulung Iza Karmila, Izlinda Ramli, 39, berkata beliau sekeluarga tidak menyangka adiknya serta suami akan pulang ke tanah air pada awal pagi tadi. Sebaik sahaja mendengar berita kepulangan adiknya yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau sekeluarga terus berangkat dari Taiping, Perak ke ibu negara pada 11 malam.

"Kami sekeluarga terutamanya ibu kami tidak putus berdoa agar mereka pulang dengan selamat," kata Izlinda lagi.

Kebimbangan mereka sekeluarga terutamanya ibu mereka yang sering menangis mengenangkan nasib anaknya itu berkurangan apabila Iza Karmila menyatakan keadaan mereka seperti biasa pada setiap kali berhubung menerusi aplikasi media sosial.

Iza Karmila menambah, ketiga-tiga anaknya tidak ingin kembali ke Pyongyang lagi.

"Itu ucapan pertama mereka kepada saya tadi," katanya.

Pada 13 Feb lalu, Kim Jong-nam, abang pemimpin negera Korea Utara, Kim Jong-un telah dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2(KLIA2).

Pergeseran diplomatik mula timbul apabila Malaysia mengisytiharkan Duta Korea Utara Kang Chol sebagai "persona non grata' dan diusir keluar kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara negara ini mengendalikan kes itu. 

Lalu, Korea Utara bertindak balas dengan mengusir Duta Besar Malaysia di Pyongyang.

Rentetan perkara itu, pada 7 Mac, Pyongyang pula menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

Setelah rundingan secara meja bulat dilakukan antara Malaysia dan Korea Utara, semalam, Datuk Seri Najib mengumumkan kesemua rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara dibenarkan pulang ke tanah air.

Kesemua mereka telah berlepas dari Pyongyang pada 7.45 malam semalam waktu Malaysia dan tiba di Kuala Lumpur pukul 5.03 pagi tadi.

Turut pulang bersama Mohd Nor Azrin sekeluarga, empat lagi rakyat Malaysia iaitu Pembantu Peribadi kepada Duta Besar Noor Saaidah Jamaluddin, 29 dan suaminya Mohd Radzuan Othman, 29 serta bayi mereka Mohamad Radhiy yang berusia lapan bulan; dan Pembantu Tadbir S. Nirmala Malar Kodi, 45.
Kredit: BERNAMA

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.