Header Ads

We design a professional website for you in just 7 Days!

Dua Rakyat Malaysia Gagal Ditemui, Hilang Di Jakarta

Kamarol Arifin Mohamad Darus, 27, dan Mohd Shafa Ahmad, 29, dilaporkan dilihat kali terakhir ketika berlepas ke Jakarta menaiki pesawat AirAsia pukul 2 petang, 30 Mac lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang.
KUALA LANGAT: Dua rakyat Malaysia dilaporkan hilang di Jakarta, Indonesia pada 30 Mac lepas. Ahli keluarga mereka merayu supaya pihak berkuasa kedua-dua negara memulakan usaha mengesan mereka secepat mungkin.

Kamarol Arifin Mohamad Darus, 27, dan Mohd Shafa Ahmad, 29, dilaporkan dilihat kali terakhir ketika berlepas ke Jakarta menaiki pesawat AirAsia pukul 2 petang, 30 Mac lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang.
Hamidah Kordi, 65, ibu kepada Kamarol Arifin berkata sebelum ini anaknya tidak pernah gagal memaklumkan keluarga di mana dia berada dan  beliau amat risau sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka.

"Sepatutnya anak saya dan kawannya balik (daripada Jakarta) Ahad malam tapi tak balik-balik... hati risau, mana tahu mereka ditimpa kesusahan sebab tak pernah macam ni (tidak memaklumkan tempat dituju)," kata Hamidah.

Menurutnya lagi, sebelum berlepas ke Jakarta untuk menonton konsert, Kamarol Arifin dan rakannya itu amat ceria dan dilihat tidak sabar-sabar untuk menjejakkan kaki buat pertama kali ke Indonesia.

Kamarol Arifin, seorang penghantar surat dan rakannya, Mohd Shafa, juruteknik di Klang merancang ke Jakarta bersama enam rakan lain namun kedua-dua mereka terpaksa berlepas melalui penerbangan dua jam lebih awal daripada kumpulan itu kerana tiket habis semasa tempahan dibuat Februari lepas.

Bagaimanapun, kumpulan enam rakan itu dilaporkan gagal mencari Kamarol Arifin dan Mohd Shafa semasa berada di Jakarta selain kedua-dua mereka turut gagal mendaftar di hotel tempat mereka menginap.

Sementara itu, Darwina Ahmad, 32, kakak Mohd Shafa berkata kedua-dua keluarga telah membuat laporan kepada polis, Wisma Putra dan Jabatan Imigresen pada Isnin lepas apabila mereka gagal pulang ke tanah air seperti dijadualkan.
Menurutnya adik lelakinya itu berpengalaman ke luar negara termasuk atas urusan kerja dan sepatutnya tidak menghadapi masalah berkunjung ke negara itu.

"Laporan sudah dibuat dan jika mereka tidak dapat dikesan juga, kami bercadang ke Jakarta bagi mencari mereka berdua ," katanya. - BERNAMA

Kredit : MStar

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.