Header Ads

Kisah Menyayat Hati Seorang Pelajar Tahfiz Apabila Kedua-dua Belah Kakinya Terpaksa Dipotong Akibat Jangkitan Kuman Selepas Disebat Pembantu Warden

Kesihatan Thaqif mula merosot selepas dibawa keluar dari madrasah itu dan dia sering mengadu mengalami sakit dan bisa pada bahagian kaki sebelum kedua-dua kakinya dipotong akibat darah beku dan jangkitan kuman.

JOHOR BAHRU - Kisah mengenai seorang pelajar tahfiz yang menjadi mangsa dera oleh pembantu warden di sebuah madrasah telah menjadi tular baru-baru ini. Mohammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi,11, telah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) setelah ibunya mendapati anaknya mengalami kesakitan di bahagian kaki sejak dua minggu lalu selepas disebat oleh warden.

Felda Wani Ahmad, 40, menceritakan semula rintihan anaknya yang ingin berpindah dan enggan kembali ke madrasah di Kota Tinggi kerana takut dirotan. Menurutnya, anaknya itu memang bercita-cita untuk menjadi seorang hafiz dan sangat bersemangat untuk belajar di pusat tahfiz berkenaan pada mulanya. Namun, sikapnya mula berubah selepas dia dan rakannya sering dipukul oleh seorang pembantu warden di tapak kaki dan betis dalam keadaan sujud.

"Saya akhirnya membuat keputusan mengeluarkannya daripada tahfiz tersebut pada 31 Mac lalu setelah mendapati keadaan anak saya tidak lagi seperti dahulu dan seolah-olah ketakutan untuk kembali ke sana," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI).


Mohammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi

Lebih menyedihkan, menurut saudara terdekat, kejadian ini hanya disedari keluarga itu selepas membelek buku latihan Thaif yang dibawa pulang apabila berhenti dari sekolah tahfiz itu.

Kesihatan Thaqif mula merosot selepas dibawa keluar dari madrasah itu dan dia sering mengadu mengalami sakit dan bisa pada bahagian kaki sebelum kedua-dua kakinya dipotong akibat darah beku dan jangkitan kuman.

"Kedua-dua kaki anak saya menjadi lebam kemerahan dan doktor yang merawat mengatakan terdapat darah beku dan jangkitan kuman yang telah merebak ke buah pinggang anak saya.

"Doktor terpaksa melakukan pembedahan semalam bagi memotong kedua-dua belah kaki anak saya untuk mengelakkan kuman itu dari terus merebak," tambah Felda Wani.

Katanya lagi, dia masih menunggu laporan perubatan bagi mengetahui sama ada kejadian yang berlaku ke atas anaknya merupakan kesan daripada hukuman rotan berkenaan dan turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Sementara itu, Superintenden Rahmat Othman, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi berkata, pihaknya akan memanggil pembantu warden tersebut bagi membantu siasatan berkenaan dan mendapatkan laporan hospital bagi membantu siasatan.

Kredit : Sinar Harian

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.