Header Ads

Pelajar Unimas Koma, Terlibat Kemalangan Dibawa Pulang ke Kelantan Menaiki Pesawat TUDM

"Selalunya bila dia datang kerja, dia nampak ceria. Tapi pagi itu, dia senyap sahaja. Tak banyak cakap. Banyak termenung seperti memikirkan sesuatu. Kerja yang diberi pun lambat disiapkan. Apabila saya tegur, barulah dia cepat-cepat siapkan kerjanya."

Hampir dua bulan koma, setelah enam kali masuk ke bilik bedah, akhirnya hari ini Helmi berjaya dibawa pulang ke bumi Kelantan. Semangatnya sungguh kuat, mungkin dia mahu bertemu keluarga dan sahabatnya di kampung. Kadang terlihat air matanya mengalir di pelupuk matanya apabila dipanggil teman-teman rapat di Universiti Malaysia Sarawak(UNIMAS), seolah-olah mengerti apa yang berlaku.

Muhammad Zulhelmi Harun,26, pelajar tahun empat jurusan Seni Gunaan dan Kreatif telah terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan dari  rumah sewanya ke Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan, Sarawak. Menurut saksi yang melihat kejadian, Zulhelmi terjatuh daripada motorsikal yang ditunggangi dan dia tidak sedarkan diri.

Zulhelmi seorang pelajar yang rajin, tekun dan bersemangat juang yang tinggi. Walaupun dia sedang menghabiskan pengajiannya disini, dia sempat bekerja sambilan di gerai Nasi Abe Original di Taman Desa Ilmu demi menampung perbelanjaannya disana.

Menurut majikannya, Muhammad Azan,27, Zulhelmi biasanya akan datang bekerja pada waktu pagi jika dia tiada kelas pada hari itu. Dia bertugas melakukan kerja-kerja dibahagian dapur dan memastikan semua bahan-bahan untuk menumis gulai siap disediakan.

"Selalunya bila dia datang kerja, dia nampak ceria. Tapi pagi itu, dia senyap sahaja. Tak banyak cakap. Banyak termenung seperti memikirkan sesuatu. Kerja yang diberi pun lambat disiapkan. Apabila saya tegur, barulah dia cepat-cepat siapkan kerjanya." kata majikannya itu.

Pada tengah hari 14 Mac itu, Zulhelmi pulang untuk solat dirumahnya. Biasanya dia hanya pulang satu jam untuk solat dan rehat, tapi pada hari itu, dia pergi agak lama. Rakan sekerjanya pergi mencarinya dirumah. Namun, Zulhelmi telah ditemui terbaring dijalan, dan tidak sedarkan diri. Dia terus dikerjarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Sejak hari itu dia koma dan hanya bergantung kepada mesin sebagai alat bantuan untuk dia terus bernafas.

Tanggal 25 April 2017, Muhammad Zulhelmi Harun telah diterbangkan ke Kota Bharu, dengan menaiki pesawat Charlie (C-130) oleh Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) untuk meneruskan rawatan disamping ahli keluarganya disana.

Menurut laporan portal Sinar Harian, pesawat itu diterbangkan oleh juruterbang Mejar Azha Mohd Yamin, yang mengambil masa selama dua jam 40 minit untuk tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu.

Ketibaan pesawat berkenaan disambut kakak sulung Muhammad Zulhelmi, Zakiah Harun, 50, termasuk pengurusan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan HUSM bagi menemani Muhammad Zulhelmi ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menerima rawatan lanjut.

Menurut Zakiah, dia menerima panggilan pada petang 14 Mac lalu dari rakan adiknya selepas kejadian menimpa adiknya itu.

“Memang terkejut ketika terima berita mengenai adik. Lagipun ibu juga tidak sihat dan disahkan mengalami masalah jantung di samping keadaan ayah yang tidak berapa sihat.

“Adik belajar jauh. Dia pun jarang telefon, jadi saya tidak tahu keadaannya di sana lagipun sebelum ini dia nampak sihat,” katanya.

Zakiah berkata, dia bersyukur adiknya dapat dibawa pulang dengan selamat ke Kota Bharu dengan usahasama pihak Unimas, UMK dan HUSM serta Pengerusi Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak), Datuk Mustapa Mohamed.

“Semoga keadaan adik saya akan lebih baik selepas ini, setelah ditempatkan di HUSM Kubang Kerian.

“Sebelum ini dia juga merupakan seorang pendikir yang aktif mewakili universitinya sendiri selain sering membuat persembahan dihadapan pihak kenamaan dalam pelbagai majlis keraian."


Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.