Header Ads

We design a professional website for you in just 7 Days!

Juruterbang Maut, Pembantu Cedera Parah Pesawat Terhempas di Sungai Rambai

Pesawat berkenaan dipercayai mengalami masalah teknikal ketika kedua-dua mangsa sedang melakukan ujian penerbangan untuk mendapat Permit Kebenaran Terbang sebelum ia dilapor terhempas.

MELAKA: Juruterbang maut manakala pembantunya parah selepas sebuah pesawat ringan milik persendirian jenis GT-500 yang sedang menjalankan ujian bagi mendapatkan Permit Kebenaran Terbang, terhempas ke dalam sungai di Sungai Rambai, Melaka.

Dalam kejadian sekitar 11 pagi itu, pesawat yang berlepas daripada Aerodrome Sungai Rambai itu diterbangkan oleh mangsa, Yen Yoon Fah, 54.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Penguasa Bomba Kanan 1, Dzulkarnain Abd Halim berkata, pesawat berkenaan ditemui terhempas di sebatang sungai, kira-kira 100 meter dari kawasan ia berlepas.

Difahamkan, pesawat ringan itu sudah dua bulan berada di Aerodrome Sungai Rambai bagi menjalani ujian penerbangan sebelum mendapatkan Permit Kebenaran Terbang daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Bagaimanapun, pesawat berkenaan dipercayai mengalami masalah teknikal ketika kedua-dua mangsa sedang melakukan ujian itu sebelum ia dilapor terhempas.

Menurutnya, setiba di lokasi, mangsa yang terselamat Shahrul Safiri, 35, telah dikeluarkan orang awam dan sebuah pesawat ringan dalam keadaan terbalik berada di dalam sungai yang dipenuhi air di kawasan belukar.


Pihak bomba mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa yang maut berikutan pesawat terbabit telah tenggelam sepenuhnya selain dikelilingi dengan belukar dan mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan mangsa.

Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Muar bagi menerima rawatan lanjut manakala mangsa yang maut dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Sehingga kini, kerja-kerja membawa keluar pesawat ringan itu masih dijalankan.

Sumber : Awani

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.