Header Ads

We design a professional website for you in just 7 Days!

Lagi Mangsa Scam, Wanita Malaysia Dipukul Dan Dikurung Sindiket Tawar Pekerjaan Di Bangkok


Seorang wanita Malaysia berusia 19 tahun berjaya diselamatkan polis Thai setelah dia dipukul dan dipaksa berkurung dalam sebuah kondominium di pinggir Bangkok oleh sindiket 'Macau Scam' yang diketuai seorang gengster Taiwan.

Kedutaan Malaysia di Thailand memberi maklumat, dalam satu operasi yang dilakukan polis Thai, mereka telah menahan lima rakyat Malaysia serta lelaki Taiwan berusia 29 tahun dipercayai ketua sindiket itu di sebuah kondominium di kawasan Bangna.

Menurut ketua operasi Pemangku Timbalan Ketua Biro Polis Pelancong Thai (TPB) Mej Jen Surachet Hakpan, empat lelaki dan seorang wanita Malaysia ditahan berumur antara 22 dan 27 tahun.

Tambah beliau lagi, mangsa mendakwa dia telah ditipu untuk bekerja sebagai operator pusat panggilan dan dikurung di dalam kondominium itu. Dia turut dipukul oleh anggota sindiket terbabit. Mangsa kemudiannya menghubungi Kedutaan Malaysia di Thailand untuk meminta bantuan.

Polis Thai juga merampas komputer, penghala Internet, kad SIM, telefon bimbit, telefon, kamera litar tertutup (CCTV) dan peralatan rakaman, pencetak serta Ipad dari kondominium itu.

Sebelum itu, bapa mangsa telah bertemu dengan pegawai Kedutaan Malaysia, Supt Ridzuan Abdul Aziz untuk melaporkan mengenai penderitaan yang dialami anaknya di tangan sindiket itu.

"Bapanya memaklumkan bahawa anaknya itu telah ditipu (oleh sindiket) dan kerap dipukul kerana enggan terlibat dalam aktiviti mereka," kata Supt Ridzuan kepada Bernama.

Ujar Ridzuan lagi, rakyat Malaysia yang ditahan dalam serbuan itu percaya bahawa mereka akan bekerja dengan sebuah syarikat jualan dalam talian di Bangkok, malangnya, sebaik sahaja tiba di ibu negara Thai, mereka dikurung di dalam sebuah kondominium manakala pasport, wang tunai dan telefon bimbit dirampas.

Selain itu, mereka juga dipukul sekiranya enggan bekerja atau menimbulkan masalah.

Polis Thai berterima kasih kepada Kedutaan Malaysia kerana memberikan maklumat mengenai sindiket itu yang membuktikan 'Macau Scam' aktif di Bangkok.

Sumber : Astro Awani

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.