Header Ads

We design a professional website for you in just 7 Days!

MetMalaysia Nafi Tular Mengenai Cuaca Panas Melebihi 40'C Untuk Lima Hari Akan Datang


Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD) menafikan tular berkaitan cuaca panas melebihi 40⁰C untuk lima (5) hari akan datang yang telah tersebar luas melalui media sosial. Matahari juga kini bukan berada di kedudukan garisan khatulistiwa. 

Pada minggu lalu, suhu tertinggi yang dicatatkan ialah 36⁰C dan tidak mencapai tahap suhu gelombang haba iaitu melebihi 37⁰C.

Berdasarkan pemantauan terkini, keadaan cuaca ribut petir pada sebelah petang telah mula berlaku di beberapa tempat di Semenanjung dengan melemahnya Taufan Lan. 

Keadaan ribut petir pada sebelah petang ini adalah normal semasa fasa peralihan monsun yang sedang dialami negara pada ketika ini.

Baru-baru ini, negara telah memasuki fasa peralihan monsun pada 6 Oktober 2017 yang dijangka berterusan hingga awal November 2017. 

Dalam tempoh ini, kawasan serantau negara kita akan menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah.

Lazimnya, kejadian hujan lebat dan ribut petir setempat dalam jangkamasa yang singkat serta angin kencang lebih kerap berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakkan kawasan negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak. 

Sehubungan itu, orang awam dari semasa ke semasa dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat sahih dari laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia.


Sumber : MetMalaysia

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.