Header Ads

We design a professional website for you in just 7 Days!

Sayunya, Tumour Semakin Merebak Keluar Dari Orbit Mata, Ini Ujian Buat Adik Arissa


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Baru sahaja berusia 4 tahun, Arissa sudah kehilangan sebelah matanya. Disaat kanak-kanak lain seusia dengannya sedang bergembira bermain dengan rakan-rakan di taman permainan, adik Arissa pula berulang alik ke hospital untuk meneruskan rawatan. 

Allahu...sakitnya hanya Allah saja yang tahu apabila kansernya merebak pula ke bahagian muka dan hidung. Untuk membantu dan mengetahui kisah lebih lanjut mengenai adik Arissa, ikuti perkongsian daripada Wan Shahriza ini.

Kisah Arissa

Maaf, jika posting ini menampilkan gambar-gambar yang begitu meruntun perasaan. Tolong jangan menghindar. Walau ianya hanyalah a click away. Semudah itu, untuk menutup kisah ini dari dunia anda.

Tapi inilah kisah dari dunia Arissa. Sebesar manapun deritanya, Arissa tidak mampu menghindar.



Tidak sampai sebulan lalu, apabila saya memulakan Tabung Kasih Arissa, keadaan Arissa tidak seteruk ini. Belumpun sampai sebulan, sudah begini tumournya membesar. Begitu agresif kansernya merebak, yang pada asalnya bermula dari bahagian retina mata, yang tidakpun ternampak di penglihatan kasar.

Keluarga Arissa telah mencuba mengikuti nasihat pakar. Mata Arissa sudah dibuang, mematuhi pendapat perubatan. Kimoterapi sudah dilalui. Radioterapi lebih 20 kitaran juga sudah dijalani anak kecil berusia 4 tahun ini.

Pun, takdir menentukan, tumour sudah merebak keluar dari orbit mata. Sudah mencerobohi ruang wajahnya. Dan di, rongga hidungnya juga sudah mula ada ketumbuhan, yang mengikut kata doktor akan membesar memenuhi ruang sehingga pada suatu masa Arissa diramalkan akan terpaksa bernafas menggunakan mulut.

Tidak terbayang laluan takdir untuk Arissa.

Pihak hospital kini hanya memberi satu rujukan. 

Hospis

Hospis ialah untuk penjagaan akhir hayat, apabila segala ikhtiar medikal sudah berakhir.
Pun, anak ini tetap ceria. Mungkin ada waktu dia terasa sakit, rimas, tidak selesa atau terganggu. Tapi menjadi kanak-kanak, dia memilih menikmati apa yang masih boleh dinikmati.

Dan nikmat keriangan untuk Arissa hanyalah nikmat mendengar. MP4 miliknya dipasang berulang-ulang. Sehinggakan dia sudah menghafal dialog-dialog dari Upin Ipin dengan begitu lancarnya. Ketika saya mendengar suara Arissa yang dikirimkan via voice note oleh ibunya kepada saya, Arissa kedengaran penuh keletah melafazkan kembali dialog-dialog itu. Amat sukar mempercayai yang anak ini sedang menghadapi sekian besar dugaan.



Lihatlah gambar Arissa yang sedang berbaring mendengar rakaman audio dari telefon ayahnya (MP4 miliknya sudah rosak, kata ibunya). Bayangkan rutin seharian yang dilaluinya. Mungkin tidak banyak dibandingkan dengan nikmat yang sebahagian besar dari kita nikmati setiap hari. Namun dia menghadapinya dengan jiwa besar seorang anak kecil yang tidak tahu apa yang menanti di hari esok kehidupannya.

Jika ada yang ingin mencadangkan rawatan yang mungkin boleh meringankan derita anak ini, sila private message saya di FB messenger. Jika ada doktor yang mungkin boleh mencadangkan rujukan pakar untuk 2nd opinion, amat saya alu-alukan.

Saya harap tiada yang mengganggu keluarga Arissa dengan memberi cadangan produk-produk MLM. Jika tidak berminat membantu, jangan pula ditambah beban keluarga ini dengan gangguan-gangguan.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.