Header Ads

We design a professional website for you in just 7 Days!

"Kami Rindu Telatah Anak Bongsu Kami", Adik Anessa Menderita Leukemia



“Kami sekeluarga rindukan telatah anak kami yang bongsu ini, sebelum ini dia periang dan manja tapi sekarang semuanya berubah,” ujar Mohd Esa Lamin, 44, bapa kepada Annur Annessa Ezzarra, 5, kanak-kanak yang terlantar akibat menderita leukemia.

September lalu, Annur Annessa disahkan menghidap leukemia September dan kini keadaannya semakin lemah sehingga terpaksa dipangku ibunya, Zulina Borhan, 44, untuk ke mana-mana.

Menurut Esa, akibat penyakit tersebut, anak bongsu daripada tiga beradik itu hilang selera makan menyebabkan berat badannya semakin berkurangan.

Anessa yang mesra disapa "adik" itu tidak lagi seaktif dan seceria dahulu, malah emosinya juga tidak menentu.

“Ada masanya tetamu, malah saya sendiri pun dimarahinya. Tapi kami faham emosinya sekarang mudah terusik kerana dia sedang menanggung sakit.

“Hanya ibunya yang faham kehendak anak kami itu kerana dia yang menguruskan dan menjaganya setiap hari sejak disahkan menghidap leukemia. Adik tidak boleh ditinggalkan kerana memerlukan bantuan sekiranya hendak bergerak,” katanya.


Mohd Esa yang bekerja sebagai buruh binaan berkata,dia kini terpaksa menggunakan semua wang simpanan yang ada, termasuk wang simpanan isterinya untuk menampung kos perubatan termasuk rawatan alternatif di Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk anaknya itu mencecah RM2,000 sebulan


“Saya sebelum ini bekerja sehingga ke Johor Bahru, tapi sejak anak saya sakit saya kembali ke kampung dan ambil upah kerja kampung termasuk memotong kelapa sawit.

“Pendapatan memang tak menentu dan isteri pula hanya suri rumah sepenuh masa. Tapi dia ada jugalah buat kerja sampingan seperti menjual tudung.

“Saya sebenarnya malu untuk bercerita kerana tak mahu dianggap meminta-minta," katanya.

Setakat ini sudah berbelas ribu dibelanjakan untuk rawatan dan dia bersyukur Annur Annessa ada menunjukkan sedikit perubahan.

Mohd Esa kini menetap di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Buloh di Senggarang, telah menerima lawatan Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat diketuai Mohd Hamidi Mad Tap. Kesusahan yang dialami Mohd Esa turut mendapat perhatian daripada pelbagai pihak terutama ahli keluarganya.

Dia kini berharap permohonannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal dapat diluluskan segera.

“Pihak penghulu, ketua kampung dan JKM ada turun padang membantu menguruskan apa yang patut selain Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor ada menghubungi saya sebelum ini menawarkan bantuan,” katanya.


Sumber : Sinar Harian

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.