Header Ads

We design a professional website for you in just 7 Days!

Kekasih Siber Larikan Duit, Cikgu Wanita Jadi Mangsa 'Love Scam'

Asisten Komisioner Idris Abd Rafar

Sanggup berkorban demi kekasih siber yang dikenalinya menerusi laman sosial, seorang guru wanita terpaksa berputih mata apabila wang RM3,300 miliknya lesap dalam kejadian pada Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, mangsa yang berusia 49 tahun itu ada berkenalan dengan seorang lelaki yang kononnya menetap di United Kingdom, pada Oktober lalu.

Tambahnya, lelaki berkenaan ada memaklumkan hajatnya untuk membeli barangan di negara ini, sebelum meminta maklumat peribadi mangsa dengan alasan hendak menghantar barang-barang peribadi miliknya.

Mangsa terus memberi maklumat peribadi diminta kerana tidak mengesyaki apa-apa sehingga menerima satu panggilan dari seorang wanita memaklumkan barang yang dipos lelaki itu sudah sampai dan kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, wanita berkenaan memaklumkan barang tersebut tidak boleh dibawa keluar dan mangsa perlu membuat pembayaran RM3,350 sekiranya mahu mengambil barang itu.

Kira-kira jam 11 pagi, pada hari yang sama, wanita itu memberi nombor akaun sebuah bank, sebelum mangsa yang teruja untuk mendapatkan barang itu membuat pembayaran RM3,300 ke dalam akaun bank diberikan.

Tiga jam selepas membuat pembayaran itu, mangsa sekali lagi menerima panggilan daripada individu sama memaklumkan perlu membuat penambahan pembayaran iaitu sebanyak RM7,700 untuk menebus barang itu.

“Mangsa yang merasa tidak sedap hati dan menyedari dirinya sudah ditipu, mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutya,” katanya.

Menurut Idris, mangsa dipercayai terjebak dengan penipuan ‘love scam’ dan kini siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.



Sumber : Sinar Harian

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.