Header Ads

We design a professional website for you in just 7 Days!

Obsesi Novel Titian Cinta : Lelaki Tembak Mati Suami Kekasih


Kerana terpengaruh dengan jalan cerita sebuah novel cinta, seorang pembantu kedai makan mengambil tindakan membunuh lelaki warga Indonesia di FELDA Keratong 2, Muadzam Shah, dekat sini, 24 Oktober lalu.

Jika diamati, isi kandungan dalam novel popular itu yang boleh dikaitkan adalah tindakan suspek menjalin hubungan dengan isteri orang dan sanggup membunuh mana-mana individu bagi mengelak kehilangan teman wanitanya.

Siasatan menjurus kepada suspek berusia 29 tahun itu menjalin hubungan sulit sejak empat bulan lalu dengan wanita warga Indonesia iaitu isteri kepada mangsa dikenali Zubir yang mengalami masalah perkahwinan.

Selepas mengetahui Zubir cuba memujuk isterinya semula dengan membawanya pulang ke Aceh, suspek menjadi berang dan bertindak bertemu dengan mangsa di premis mencuci kenderaan di FELDA Keratong 2.

Mengulas mengenai kejadian berkenaan, Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, suspek mengakui menembak mangsa menggunakan senapang patah buatan sendiri. Mangsa meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat cedera parah di kepala.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan isteri mangsa pada keesokan harinya sebelum suspek ditahan sepasukan anggota polis di Hentian Rehat dan Rawat Tanjung Malim, Perak kira-kira jam 12.30 tengah malam, 27 Oktober.

“Ketika disoal siasat, suspek mengakui menghayati dan menyatakan kisahnya sama dengan novel cinta itu.

“Malah ketika ditahan, novel berkenaan ada bersama dengannya manakala senapang patah dan peluru dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemui di ladang Sungai Guan, Kota Bahagia, Muadzam Shah,” ujar beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin.

Menurut Azli, pihaknya percaya dapat menyelesaikan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.


Sumber : Harian Metro

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.