Tangki Minyak Meletup, Mayat Tiga Lelaki Ditemui
![]() |
Foto : Jabatan Bomba Dan Penyelamat Selangor |
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul, mayat mangsa terakhir T Baskaran, 49, ditemui pada 6.09 petang kelmarin. Sebelum itu, pihaknya menemui mayat Mohd Ziehafizan Abd Rahman, 28, dan Zamri Adenan, 35.
Ujarnya lagi, mayat Mohd Ziehafizan, yang merupakan penyelia kawasan, serta mayat Zamri dan Baskaran yang bekerja sebagai juruteknik, akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata keadaan isipadu minyak diesel yang banyak sehingga 725,000 liter menyukarkan proses membawa keluar mayat ketiga-tiga mangsa itu.
Lebih kurang 13 buah lori tangki digunakan untuk mengeluarkan minyak diesel yang terdapat di dalam tangki setinggi 4.26 meter itu.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang kelmarin, ketiga-tiga mangsa sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di tangki minyak itu sebelum berlaku letupan yang mengakibatkan mereka terjatuh ke dalam tangki berkenaan. Punca kemalangan masih disiasat.- Bernama
Sumber : Sinar Harian
Tiada ulasan: